KUALA LUMPUR – Syarikat produksi dan pengedar filem, Malik Streams Corporation Sdn. Bhd. menyatakan hasrat ingin mengeluarkan filem melayu bergenre aksi namun masih menerapkan gaya filem hindustan sebagai satu pembaharuan dalam arena pembikinan filem tempatan.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, ianya merupakan perancangan baharu namun masih belum memutuskan lagi calon pengarah dan pelakon yang bakal menjayakan hasratnya itu.

“Saya berminat untuk mengeluarkan filem melayu dan sudah filem tentu akan memilih filem aksi, namun masih belum memilih siapakah pengarah terbaik yang bakal mengarah filem ini”.

“Untuk pelakon juga, saya masih meneliti dan belum ada pilihan siapakah yang bakal menerajui filem ini, semuanya masih lagi dalam perancangan. Jika ada, InsyaAllah ianya akan direalisasikan” katanya kepada Malaysianews TV.

Ditanya berkenaan perancangan terdekat, beliau memaklumkan akan membawa Salman Khan bertemu peminat di Malaysia dalam persembahan konsert hujung tahun ini.

“Perancangan terdekat, kami berhasrat membawa Salman Khan untuk persembahan konsert hujung tahun ini dan ianya masih lagi dalam perbincangan” katanya.

Beliau ditemui dalam satu program tanggung jawab sosial (CSR) anjurannya di Hospital Kuala Lumpur. Beliau meraikan para pesakit dengan menyumbang kesemua 120 pesakit di wad 23,34 dan 27 di hospital berkenaan menerima duit raya dan hamper tanpa mengira agama dan kaum.

Advertisements