Gombak  –  Orang ramai dari 10 buah kampung hari ini bergotong royong memasak juadah untuk dihidangkan kepada para pengunjung majlis rumah terbuka Parlimen Wangsa Maju yang akan diadakan esok 16 jun bertempat di Padang Bola Kampung Puah, Jalan Gombak.

Ahli Parlimen, YB Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew yang turut hadir berkata program sebegini adalah idea bersama persatuan kampung dan dilihat sebagai satu semangat baru yang mampu memupuk hubungan baik pelbagai kaum.

Beliau turut berasa gembira melihat kerjasama yang terjalin diantara penduduk kampung serta kemeriahan suasana aidilfitri.

‘Saya berasa gembira dan melihat program sebegini wajar diteruskan bukan sahaja untuk hari raya malah pelbagai perayaan seperti tahun baru cina, deepavali, krismas dan sebagainya.’

‘Program ini adalah langkah penyatuan semangat gotong royong disamping dapat mengeratkan lagi silaturahim’ katanya kepada Malaysianews TV.

Ditanya mengenai masa depan Kampung Warisan Wangsa Maju, beliau berkata buat masa ini pemfokusan penambahbaikan infrastruktur seperti projek pelebaran jalan, kebersihan dan sebagainya menjadi fokus utama.

‘Sememangnya saya melihat Kampung Warisan Wangsa Maju mempunyai nilai terbaik untuk dijadikan lokasi tumpuan pelancong, namun pertama sekali saya harus memberi fokus penambahbaikan infrasturuktur terlebih dahulu’

‘Ianya penting bagi memberi dan membina imej baik kepada Kampung Warisan Ini’ katanya.

Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Muafakat Kuala Lumpur (PADU), Ishak Surin berkata ini adalah merupakan projek rewang pertama yang dijalankan dimana sebelum ini hanya menggunakan khidmat keterer sahaja.

Antara kampung-kampung yang mengambil bahagian adalah Kampung Sungai Mulia, Kampung Padang Balang, Kampung Puah, Kampung Puah Lembah, Kampung Puah Seberang, Kampung Sungai Merali, Kampung Chubadak, Kampung Chubadak Tambahan dan Kampung Banda Dalam.

Beliau berkata program rewang ini bagi memasak 19 juadah dan bakal memperkenalkan menu sambal pakatan sebagai juadah lain dari yang lain.

Majlis rumah terbuka ini turut menjemput orang ramai datang memeriahkannya.

Advertisements