KUALA LUMPUR – Selepas menyajikan cita rasa ala Korea, kini McDonald’s Malaysia membawa hidangan menarik dari Portugal menerusi Burger Ayam Portuguese.

Pengarah Pemasaran McDonald’s Malaysia, Eugene Lee berkata, resepi tersebut diinspirasikan oleh pemandangan, suasana dan cita rasa Portugal.

Katanya, Burger Ayam Portuguese itu juga merupakan menu menarik yang kedua diperkenalkan sempena kempen ‘Discover The World 2019’ McDonald’s Malaysia.

“Burger lazat ini dimantapkan dengan kepingan daging ayam yang digoreng garing dan dicelup sos piri-piri unik serta dihidangkan bersama campuran sayur-sayuran. Kelazatannya bertambah apabila kesemua bahan itu diapit dengan ban emping cili terbaharu,” katanya pada Majlis Pelancaran Burger Ayam Portuguese di sini hari ini.

Tambah Lee, Burger Ayam Portuguese akan berada di pasaran selama empat minggu bermula 4 Julai ini.

Turut hadir Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai.

Advertisements