Kuala Lumpur – Satu demonstrasi diadakan di hadapan pasaraya Sogo hari ini. Demonstrasi kecil itu diadakan bagi mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali meletakkan jawatan ekoran tersebarnya video yang didakwa memaparkan dirinya melakukan hubungan sejenis.

Demonstrasi itu dihadiri lebih daripada 100 orang peserta dari Pertubuhan Seketariat Suara Rakyat yang dipengerusikan oleh Datuk Lokman Adam.

“Kami berkumpul petang ini untuk menyatakan rasa kecewa apa yang berlaku kepada apa yang tular pada 11 jun lalu. Kita dah pun buat laporan polis namun berasa hampa dan kecewa masih tiada sebarang tindakan diambil”

“Dalam video seks di luar tabii ini, kita ada seorang (pelaku) bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz yang sudahpun membuat pengakuan secara live tetapi kenapa sehingga ke hari ini beliau belum didakwa di bawah seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah persetubuhan di luar tabii,” katanya kepada media.

Perhimpunan aman itu dipercayai mempunyai kesinambungan daripada beberapa perhimpunan sama sebelum ini melibatkan perbuatan semburit di antara dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.

Antaranya perhimpunan mendesak Mohamed Azmin meletak jawatan menteri Kabinet di luar pekarangan bangunan Parlimen pada Khamis lalu dan satu lagi di luar Masjid Putra, Putrajaya, semalam.

Perhimpunan membantah perbuatan songsang dalam kalangan pemimpin negara itu turut memegang pelbagai jenis plakad tertera mesej desakan.
Dalam masa itu, Lokman juga turut menggesa agar parlimen dibubarkan demi kesejahteraan rakyat yang tidak dipimpin oleh kerajaan yang mempunyai menteri dalam kalangan LGBT.