Selayang – Penduduk flat Selayang Makmur menggesa pihak berwajib mengambil tindakan merobohkan pembinaan tokong di hadapan kawasan perumahan mereka.

Santhirasekarn Sinnasamy, pengerusi badan bertindak berkata pembinaan yang mula dijalankan sejak januari lalu mengundang pelbagai masalah kepada penduduk antaranya longgokan sampah sekaligus menyumbang kepada pencemaran bau, udara dan penularan wabak demam denggi.

Menurutnya lagi, pelbagai aduan berbentuk memo, panggilan telefon dan email telah dibuat kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun sehingga kini tiada sebarang respon.

“Kami telah cuba pelbagai cara ketengahkan masalah ini, kita hantar memo, email dan telefon kepada MPS dan DBKL tetapi sehingga kini masih senyap tiada respon. Masing-masing tendang sana tendang sini, akhirnya jadi acara bola sepak. Mereka buat kami macam bola” 

“Kepada siapa lagi kami mahu buat aduan. Semua pihak tutup mulut buat tak tahu saja” katanya kepada media.

Ditanya mengapa membuat aduan kepada MPS dan DBKL, beliau menyatakan kawasan tersebut berada di tengah sempadan Selangor dan Kuala Lumpur. Perkara ini sekaligus membuatkan penduduk berada dalam keadaan tersepit kerana pihak berkuasa seolah-olah lepas tangan dan menyatakan kawasan tersebut diluar pengurusan mereka.

“Tokong ini punca masalah. Dahulu disini ada 2 buah tong sampah besar yang diletakkan oleh MPS bagi memudahkan penduduk buang sampah tapi selepas tokong ini dibina, tong sampah pun hilang. Peniaga pasar borong dan orang luar buang sampah disini”

“Kami mohon tokong ini dirobohkan kerana lokasi ini tak sesuai untuk rumah ibadat. Kembalikan tong sampah dan perparitan seperti asal. Pandanglah kami penduduk disini,” katanya.

Selain dari masalah sampah, penduduk juga memaklumkan mengalami masalah laluan alternatif di kawasan perumahan kini telah menjadi laluan utama kepada lori dan bas yang menyebabkan kesesakan serta mendatangkan bahaya kepada penduduk terutama kanak-kanak. 

“Lihatlah, kawasan jalan alternatif kini dah jadi laluan utama bas dan lori. Ini sangat bahaya kepada kami dan sesak teruk. Penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di sisi jalan kerana kawasan sepatutnya telah didirikan tokong”.

“Sepatutnya kenderaan berat ikut jalan di hadapan pasar borong tapi sekarang jalan itu dah sesak sebab ramai peniaga myanmar dan rohingya berniaga di tepi-tepi jalan dan akhirnya kami pula yang jadi mangsa”. 

Bukan itu sahaja, kesesakan kawasan sekitar itu juga turut berpunca dari pembinaan pusat penyembelihan ayam di kawasan pasar borong. Penduduk setempat turut menggesa kementerian dan mana-mana pihak berwajib menyemak kembali projek pembinaan tersebut memandangkan ianya terlalu hampir dengan kawasan perumahan.

Advertisements