Kuala Lumpur – Persatuan Pendorong Kemajuan & Pendidikan Malaysia menandatangani perjanjian kersama dengan beberapa pihak korporat bagi menjayakan program bantuan mengerjakan umrah ‘Impian Lambaian Baitullah’ kepada golongan asnaf, ibu tunggal, OKU dan warga emas.

Penasihat program, Dato’ Azuan Norhari Abdul Latib berkata, program ini dilakukan sebagai salah satu usaha untuk memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan menjejakkan kaki ke Mekah disamping memberi pendidikan dan motivasi sebagai pengisian program.

“Program ini bukan sahaja membawa golongan tidak berkemampuan ke tanah suci tetapi kami memastikan ada pengisian ilmu yang boleh disumbangkan kepada peserta. Kami ingin setiap peserta membawa pulang ilmu dan motivasi sebagai bekalan untuk diri sendiri”.

“Kami mensasarkan golongan asnaf, ibu tunggal, OKU, warga emas dan sebagainya yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pusat zakat agar senarai ini disahkan oleh pihak berwajib dan dipilih dari mereka yang benar-benar memerlukan” katanya kepada Malaysianews TV.

Dalam pada itu, beliau juga berkata program ini bakal dibuka kepada golongan B40 yang layak namun medium tepat harus dikaji semula bagi menentukan bagaimana ianya perlu disaring. Hasrat ini akan dikaji semula melalui kejayaan program pertama.

“InsyaAllah program ini akan mula berlangsung pada tahun hadapan setelah kita selesai membuat semakan dan senarai pendek nama-nama yang berkelayakan.” katanya.

Difahamkan, program ini mendapat pengesahan dorongan dari Pejabat Perdana Menteri dan diselaraskan oleh Cahaya Delima Travel & Tours.

Advertisements