HONG KONG- Jack Ma melepaskan jawatannya dalam Alibaba Group Holding Ltd selepas menerajui satu daripada syarikat yang menghasilkan kekayaan luar biasa yang pernah dilihat oleh dunia.

Bekas guru bahasa Inggeris itu melepaskan jawatan sebagai pengerusi eksekutif syarikat terbesar China pada hari jadinya ke-55 selepas mengumpul kekayaan bernilai AS$41.8 bilion, rekod individu paling kaya di Asia yang hanya diatasi oleh hartawan dari India, Mukesh Ambani, menurut Indeks Hartawan Bloomberg.

Pencapaian hebatnya itu bermula dari usahanya bekerja di pangsapurinya pada tahun 1999 untuk menubuhkan empayar e-perniagaan yang seperti mencerminkan evolusi China dari negara yang mundur teknologi kepada ekonomi kedua terbesar dunia ketika ini.

Syarikatnya itu juga mengendalikan satu daripada dunia perniagaan pengkomputeran awan terbesar dan menjalankan rangkaian logistik yang menghantar berjuta bungkusan setiap hari.

Kini ahli perniagaan yang paling dikenali di negaranya itu, menyerahkan jawatan itu kepada Daniel Zhang, satu peralihan penting untuk syarikat terbesar di Asia.

Ma menjadi individu terkaya di Asia pada 2016, mengambilalih takhta Pengerusi Dalian Wanda Group, Wang Jianlin. Gelaran itu kini disandang oleh Pengerusi Reliance Industries Ltd, Ambani, yang bernilai AS$47.4 bilion, menurut kedudukan 500 individu terkaya dunia Bloomberg.

Pengasas bersama Alibaba itu telah menjadi wajah kepada perniagaan China biarpun sewaktu menjadi ahli Parti Komunis, pemerintah negara itu.

Ma, yang pernah ditolak permohonannya untuk bekerja dengan KFC, pada masa ini memiliki 5.3 peratus kepentingan Alibaba bernilai AS$24.6 bilion, atau kira-kira 10 kali ganda daripada 7.4 peratus kepentingan miliknya bernilai AS$2.6 bilion pada 2012.

Sejak mengambilalih peranan sebagai pengerusi eksekutif pada 2013, pendapatan Alibaba melonjak kira-kira 1,100 peratus kepada 378.8 billion yuan (AS$56.2 billion) pada tahun berakhir Mac 2019.

Jumlah kekayaannya tidak termasuk dengan kepentingan dalam syarikat yang dimiliki oleh yayasannya atau nilai saham yang dijual sepanjang tempoh itu. – Bloomberg

Advertisements