SHAH ALAM: Sebanyak 24 sekolah di Klang akan ditutup esok menjadikan jumlah keseluruhan 29 sekolah ditutup susulan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat di Selangor ketika ini.

Lima sekolah di Kuala Langat ditutup bermula hari ini bagi memastikan keselamatan guru, murid dan pelajar akibat masalah jerebu yang berlaku sekarang .

Jabatan Pendidikan Selangor dalam satu kenyataan malam ini, memaklumkan 24 sekolah yang ditutup esok membabitkan seramai 38,217 murid di Klang, manakala lima sekolah yang ditutup hari ini membabitkan 7,048 murid di Kuala Langat.

“Setakat jam 7 petang, Jabatan Pendidikan Selangor menerima laporan lima sekolah ditutup hari ini dan tambahan 24 lagi sekolah akan ditutup esok, menjadikan keseluruhan 29 sekolah ditutup di Selangor akibat jerebu,” katanya.

Jumlah itu membabitkan 16 sekolah kebangsaan (SK), tujuh sekolah menengah kebangsaan (SMK), dan masing-masing tiga sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dengan jumlah keseluruhan 45,265 murid.

Sementara itu, berdasarkan bacaan dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat jam 8 malam ini, paras IPU di Johan Setia adalah 189; Kuala Selangor (132); Shah Alam (125); Petaling Jaya (119); Klang (116) dan Banting (111).

Advertisements