SHAH ALAM: Seorang juruteknik kilang ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penularan video yang memaparkan aksi lucah seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) wanita yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, perintah reman terhadap lelaki berusia 22 tahun itu yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa, bermula hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya juga merampas dua buah telefon bimbit milik lelaki berkenaan yang dipercayai digunakan untuk menyebarkan klip video membabitkan anggota JKDM yang berusia 21 tahun itu.

“Lelaki terbabit bekas teman lelaki wanita berkenaan ditahan di kediamannya di Telok Panglima Garang kira-kira pukul 6.30 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.

“Buat masa ini, kita masih menjalankan siasatan lanjut merangkumi semua aspek termasuk berapa lama tempoh perkenalan kedua-dua individu terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 6 September lalu, sembilan klip video memaparkan seorang wanita berpakaian seragam JKDM yang melakukan aksi lucah mula tersebar di laman sosial.

Selepas tersebar video itu, wanita terbabit membuat satu laporan polis.

Advertisements