KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan wang berjumlah RM369,622 dari akaun milik Naza Quest Auto Sdn Bhd dan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Mutalib yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) diserah kepada kerajaan Malaysia.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai berikutan tiada pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk menuntut wang itu sekali gus bersetuju untuk dilucut hak.

Allan berkata, wang yang dibekukan dari akaun Naza Quest berjumlah RM269,622 manakala Ismail pula berjumlah RM100,000 kini menjadi hak kerajaan Malaysia.

Permohonan melucut hak itu dibuat pendakwaan mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Peguam Md Yunos Sharif yang mewakili Naza Quest selaku responden tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap pelucutan hak wang yang berkait dengan penyiasatan 1MDB itu.

Bagi Ismail pula, persetujuan beliau dikemukakan melalui surat bertarikh 24 Jun 2019 yang dialamatkan ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Mohd Nazlan menetapkan tarikh perbicaraan pada 22 November, 13 November dan 5 November depan membabitkan tiga lagi entiti iaitu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd.

“Pihak pendakwaan sudah mewartakan untuk kehadiran pihak ketiga pada hari ini. Bagaimanapun tiada pihak ketiga yang hadir.

“Justeru, kami memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Sehingga hari ini sebanyak lapan daripada 41 entiti telah menyerahkan wang dari akaun masing-masing kepada kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini berkata permohonan pelucutan hak sudah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Advertisements