KUALA LUMPUR: UMNO-PAS akan memeterai perjanjian kerjasama politik dikenali sebagai Piagam Muafakat Nasional, sempena Himpunan Penyatuan Ummah, hari ini.

Majlis menandatangani piagam UMNO PAS akan disempurnakan oleh kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, PWTC di sini.

Piagam berkenaan adalah satu dokumen terperinci menggariskan prinsip asas kerjasama, rasional, struktur dan modus operandi kerjasama dirangka menerusi Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Teknikal, yang masing-masing dianggotai 11 dan lima pemimpin bagi setiap parti.

Dokumen itu bakal memperincikan jawatankuasa berkaitan yang akan melaksana dan merealisasikan kerjasama pada peringkat pusat, negeri hingga peringkat akar umbi.

Piagam itu juga adalah satu tata kelola kerja bagaimana kedua-dua parti bergerak daripada sekarang hingga ke pilihan raya umum yang akan datang.

Tiada pengagihan kerusi dinyatakan dalam piagam itu kerana Presiden kedua-dua parti yang akan memutuskan.

Advertisements