PERUTUSAN PENGERUSI LKIM SEMPENA HARI MALAYSIA BERSAMA MEMODENKAN NELAYAN

1. Setelah 62 tahun negara mengecapi kemerdekaan dan 56 tahun tertubuhnya sebuah negara persekutuan yang dinamakan Malaysia, rakyat Malaysia dapat merasai kemakmuran dan keamanan yang dikecapi sehingga hari ini.

Negara ini tidak dibina dengan hanya satu kaum ataupun satu golongan pekerjaan sahaja malah negara ini dibina dengan kepelbagaian kaum, budaya, dan agama serta pelbagai sektor pekerjaan yang menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran ekonomi dan negara.

Kini, dunia bergerak pula kepada Revolusi Perindustrian 4.0. Sudah pasti Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam membangunkan ekonomi negara selari dengan peredaran pesat dunia pada hari ini.

Oleh kerana itu, kerajaan pada hari ini sedang berusaha untuk memulihkan ekonomi negara bagi memastikan negara mampu mencapai kemajuan yang akan memberikan manfaat kepada semua rakyat di dalam negara.

2. Ketika ekonomi negara rancak berkembang dengan pesat, sudah pasti golongan nelayan tidak mahu terpinggir daripada arus kemodenan negara. Malangnya, kebanyakan golongan nelayan masih lagi berada dalam golongan B40 sedangkan pekerjaaan nelayan adalah pekerjaan yang boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan.

Nasib para nelayan di Malaysia tidak akan berubah jika minda mereka masih lagi dicengkam dengan pemikiran aktiviti perikanan tradisional. Jika para nelayan di Malaysia masih gagal memerdekakan minda mereka daripada pemikiran tradisional, saya bimbang usaha kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan tidak dapat dicapai.

3. Para nelayan kini perlu mempunyai pemikiran untuk menceburi teknologi perikanan yang terbaharu dan mempunyai vesel-vesel yang lebih moden dan canggih yang mampu membawa mereka ke laut yang lebih dalam. Ini sekaligus akan meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka pada masa akan datang.

Mereka tidak boleh hanya bergantung kepada aktiviti tangkapan ikan sahaja tetapi perlu dipelbagaikan dengan aktiviti lain termasuk terlibat dengan akuakultur, industri downstream dan agro-tourism. Persatuan Nelayan perlu diperkasakan dan berani untuk terlibat dalam perniagaan upstream, midstream dan downstream yang lebih kompetitif dan bukan hanya bergantung kepada perniagaan mainstream. Perniagaan terbabit dilihat mampu mencapai pendapatan yang lumayan dan secara tidak langsung pendapatan tersebut mampu dipulangkan kembali kepada para nelayan yang berada di bawah.

4. Oleh itu, sebagai agensi yang bertanggungjawab meningkatkan sosioekonomi nelayan dan memacu industri perikanan negara, LKIM berusaha gigih bagi memodenkan nelayan di Malaysia.  Slogan “Rejuvenasi Industri Perikanan” adalah bertujuan merangsang usaha LKIM bagi memerdekakan nelayan-nelayan tradisional dan melahirkan nelayan-nelayan moden di Malaysia. Dengan budaya kerja LKIM yang baharu diperkenalkan iaitu C.A.P iaitu Cekap, Amanah dan Peduli matlamat ini mampu dicapai hasil daripada kerjasama yang baik antara kakitangan LKIM yang berkualiti dan juga Persatuan Nelayan yang efisien. Apabila visi memodenkan nelayan ini dicapai, sudah pasti industri perikanan negara mampu menyumbang lebih tinggi kepada KDNK negara berbanding hanya 1.1% yang dicapai pada tahun lalu.

5. Justeru, cadangan YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Dato’ Salahuddin Ayub untuk membentuk konsortium bagi memodenkan nelayan dengan pemilikan vessel baharu dengan teknologi moden amat tepat dalam usaha mencapai halatuju ketiga MOA dalam meningkatkan pendapatan nelayan. Usaha murni ini tidak akan mampu tercapai jika tiada kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat. Justeru, LKIM dan nelayan harus berganding bahu dengan semangat dan nadi yang satu menyokong dan menggerakkan usaha kerajaan ini demi pencapaian negara yang lebih maju dan makmur serta dapat memastikan golongan nelayan tidak terpinggir dalam agenda kemakmuran bersama (shared prosperity) yang didokong kerajaan hari ini.

 

Advertisements