KUALA LUMPUR: Lelaki didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mentua, yang viral di media sosial sejak Sabtu lalu, sudah meletak jawatan pada April lalu.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya tiada kaitan lagi dengan individu berkenaan.

“Kami merujuk kepada beberapa berita disiarkan di media tempatan dan yang viral di media sosial mengenai kes seorang lelaki dikaitkan sebagai kakitangan HCTM UKM yang mencederakan bekas isteri dan bapa mentua beberapa hari lalu.

“HCTM UKM dengan ini memaklumkan bahawa lelaki yang dirujuk sebagai kakitangan HCTM UKM sebenarnya sudah meletak jawatan pada April 2019 selepas berkhidmat di Hospital ini sejak 2017.

“Sehubungan itu, HCTM UKM tiada kaitan dengan pekerja terbabit seperti yang dihebahkan melalui media,” katanya.

Sebelum ini, seorang lelaki yang didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mentua yang viral di media sosial sejak kelmarin, sudah ditahan pada 9 September lalu, namun dibebaskan hari yang sama dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, dilaporkan berkata suspek yang berusia 34 tahun itu dibebaskan atas faktor kesihatan selepas mengemukakan surat rujukan perubatannya.

Beberapa gambar memaparkan mangsa dan bapanya mengalami kecederaan di bahagian kepala tersebar di media sosial terutama Facebook.

Difahamkan kecederaan itu akibat diserang bekas suami mangsa yang juga dikatakan seorang doktor selepas tidak berpuas hati berhubung kemelut rumah tangga.