SEREMBAN – Sebanyak 46 sekolah di Nilai ditutup susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu mencapai tahap sangat tidak sihat mulai pagi ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali, berkata IPU di kawasan itu sehingga jam 12 tengah hari mencatatkan 206.

Katanya, IPU di Nilai menunjukkan tahap sangat tidak sihat bermula jam 9 pagi apabila merekodkan bacaan 203.

“Justeru, ibu bapa dibenarkan membawa anak mereka pulang ke rumah masing-masing, manakala bagi yang bersekolah pada sesi petang pula tidak perlu datang ke sekolah,” katanya kepada media selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan majlis bersama ibu bapa serta penjaga Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Pagi tadi, sebanyak 63 sekolah di Port Dickson membabitkan seramai 22,877 murid ditutup susulan bacaan IPU merekodkan 212 pada jam 9 pagi ini.

Di Seremban pula, bacaan IPU sehingga jam 12 tengah hari menunjukkan 177.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, guru besar dan pengetua sekolah perlu peka dengan bacaan IPU yang dipaparkan pada laman web http://apims.doe.gov.my.

Katanya, jika mendapati bacaan IPU melebihi 200, pihak sekolah boleh memaklumkan kepada JPNS untuk tindakan penutupan sekolah.

“Guru pula akan ditugaskan memaklumkan perkara ini (penutupan sekolah) kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, JPNS akan terus memantau keadaan dan akan membuat makluman dari semasa ke semasa.