Perdana Menteri berkata, rakan sejawatnya itu tidak pernah memohon Dr Zakir diekstradisi pulang ke negara asalnya ketika pertemuan sebuah forum ekonomi yang berlangsung di Russia awal bulan ini.

“Tidak banyak negara yang mahukan dia (Dr Zakir). Saya berjumpa dengan Modi dan beliau tidak pula minta pendakwah itu dihantar pulang,” katanya dalam wawancara bersama stesen radio berbahasa Inggeris tempatan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Dr Zakir tidak lagi dibenarkan berucap di hadapan orang awam di Malaysia.

“Dia (Dr Zakir) bukan rakyat negara ini. Dia hanya memilik status penduduk tetap yang diberikan kerajaan terdahulu. Seorang yang berstatus penduduk tetap tidak boleh membuat kenyataan berhubung sistem dan politik negara ini.

“Dia sudah melanggar (syarat). Dia tidak lagi dibenarkan bercakap (pada majlis awam). Kerajaan masih mencari tempat yang dia akan diterima, namun buat masa ini, tiada,” katanya.