LONDON – Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo mengakui, beliau merasa ‘amat malu’ ketika berusaha melindungi keluarganya daripada diheret dalam kes dakwaan rogol seorang wanita di Amerika Syarikat (AS).

Ronaldo dituduh menyerang secara seksual Kathryn Mayorga di sebuah hotel di Las Vegas pada Jun 2009.

Pemain berasal dari Portugal yang juga pemenang lima kali Liga Juara-Juara, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan siasatan pada asalnya sudah ditutup 10 tahun lalu.

Ia dibuka semula pada Ogos 2018, tidak lama selepas Mayorga memfailkan satu tuntutan saman pada September dan mengemukan maklumat yang pada awalnya dirahsiakan.

Julai lalu, pendakwa raya mengumumkan, mereka tidak akan meneruskan pendakwaan kes itu kerana tuduhan itu tidak dapat dibuktikan ‘melampaui keraguan munasabah.’

Bekas pemain Manchester United itu mendedahkan, tuduhan itu memberi kesan mental kepadanya ketika beliau mahu melindungi anak-anaknya daripada laporan negatif terbabit.

“Ia bermain dengan maruah anda. Ia sukar. Anda ada teman wanita (Georgina Rodriguez), keluarga dan anak-anak. Apabila mereka bermain dengan kejujuran anda, ia teruk, ia sukar.

“Saya teringat satu hari ketika saya berada di ruang tamu rumah bersama teman wanita sambil menonton televisyen untuk melihat berita dan mereka bercakap mengenai ‘Cristiano Ronaldo melakukan itu dan ini.’

“Apabila anak saya turun dari tangga saya terpaksa menukar saluran kerana tidak mahu Cristiano Ronaldo Jr melihat mereka bercakap buruk mengenai bapanya,” kata Ronaldo kepada ‘Good Morning Britain’ dalam wawancara bersama Piers Morgan disiarkan hari ini. -AFP