Penyanyi lagenda, Datuk Jamal Abdillah memahami hakikat bukan mudah untuk seseorang individu itu berubah apabila mereka mula melibatkan diri dengan najis dadah.
 
Namun, kata Jamal, tidak mustahil seseorang itu boleh pulih sepenuhnya jika dia kuat melawan dirinya sendiri.
 
“Saya tidak berani untuk menasihati sesiapa mengenai ini, tapi dari pengalaman saya bukan mudah seseorang itu untuk berubah dan pulih.
 
“Malah, saya boleh kata saya juga dalam proses pemulihan dan sesiapa yang pernah terlibat dalam najis dadah ini, bila-bila masa mereka boleh kembali.
 
“Apa yang pasti, mereka perlu kuat melawan diri mereka sendiri untuk menjauhkan daripada kembali terjebak,” katanya.

 

 

Datuk Jamal juga turut mengulas bahawa PENGASIH adalah segalanya bagi beliau. 

“PENGASIH adalah permulaan saya, segala-galanya bagi saya”

“Saya disini selama 5 tahun, saya mencari siapa diri saya dan disini jugalah tempat saya bangkit kembali membina hidup saya” katanya.

“Dalam diri kita, kalau tersirat keinginan untuk ambil dadah semula, memang payah. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Jamal bagaimanapun mengakui, dirinya tidak boleh sombong dengan perubahan positif yang dilaluinya sekarang.

 

 

“Saya tak boleh cakap besar kata aku dah okey. Setiap hari saya kena fikir untuk pulih daripada penagihan.

“Bisikan syaitan akan sentiasa datang. Malah dalam tidur pun saya mimpi beli dadah dan hisap.

“Memang semua orang akan rasa. Mungkin pada sebelah siang saya lalu satu tempat yang jadi lokasi ambil dadah, malamnya pasti akan mimpi,” katanya.