PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata beliau sedang menunggu laporan lengkap berhubung kes pencerobohan data penumpang membabitkan anak syarikat penerbangan Lion Air termasuk Malindo Air.

Beliau berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai pencerobohan data penumpang itu.

“Maklumat berkenaan ada dalam pengetahuan kita dan saya telah minta satu laporan lengkap diberikan kepada saya.

Gobind ditanya media mengenai laporan berlakunya pencerobohan data besar-besaran sejak bulan lalu membabitkan syarikat penerbangan itu.

Sebelum itu beliau menghadiri pelancaran Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pencerobohan itu menyebabkan maklumat jutaan penumpang termasuk nombor pasport, alamat rumah dan nombor telefon disebarkan menerusi forum pertukaran data dalam talian.

Ditanya ada jangka masa laporan itu akan diterima, Gobind berkata tidak ada sebarang had masa ditetapkan tetapi harap ia dapat diterima secepat mungkin.

“Tidak ada…saya tidak menetapkan sebarang had masa tetapi harap ia dapat disegerakan kerana ia satu perkara cukup penting dan ramai yang melihat kepada aspek keselamatan,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi Malindo Air, Chandran Rama Muthy dilaporkan mengesahkan pencerobohan berkenaan ketika dihubungi media.

Menurut Chandran, syarikat penerbangan itu sedang menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan telah menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata satu kertas perhubung penubuhan badan bebas Majlis Belia Malaysia akan dibentangkan ke Kabinet pada suku tahunan ini.

“Telah ada kemajuan,” kata beliau. –