Langkawi – Syarikat penerbangan jarak dekat, Firefly Airlines dengan kerjasama dari beberapa penaja menjayakan Program kutip sampah di pulau Langkawi sempena kempen ‘World Clean Up Day 2019’. Program tanggung jawab sosial korporat (CSR), ini merupakan julung kali diadakan oleh Firefly bertemakan alam sekitar dimana sebelum ini hanya bertumpukan kepada tanggung jawab kemanusiaan sahaja.

Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Cik Izra Izzuddin berkata, ini merupakan program pertama CSR yang memfokuskan tentang kelestarian alam sekitar. Manakala, Pulau Langkawi dipilih kerana ianya salah satu lokasi perjalanan penerbangan syarikat penerbangan ini.

 

 

“Ramai yang tidak tahu, Firefly adalah ‘Green Airline’ kerana kami mengendalikan pesawat ATR 72-500 di mana strukturnya diperbuat daripada kira-kira 20 peratus komposit, yang membantu mengurangkan pembakaran dan pelepasan bahan bakar.

“Usaha ini adalah bagi menggalakkan gaya hidup lebih mesra alam dan ekologi yang boleh membantu melindungi alam sekitar di samping mengekalkan sumber semula jadi untuk masa kini dan generasi akan datang” katanya.

 

 

Menurutnya lagi, selain menjadi lokasi penerbangan, Langkawi juga turut dipilih kerana memiliki pulau-pulau kecil yang boleh dituju menggunakan jet ski bagi menjayakan program mengutip sampah ini.

“Ini merupakan satu pengalaman baru yang mungkin boleh menjadi salah satu produk pelancongan kepada pelancong bukan sahaja dari luar malah tempatan sendiri.

“Saya sendiri pertama kali merasai pengalaman ke pulau-pulau kecil sekitar Langkawi dengan menaiki jet ski, dan kita ada fokus yang baik dilakukan untuk mengutip sampah sekitar pulau yang mana ianya satu usaha yang murni yang patut diketengahkan” katanya kepada Malaysianews TV.

 

Ditanya mengenai rakan penajaan, beliau amat berterima kasih kepada Frangipani Hotels & Resort Langkawi, Megawatersport Jetski Tours, Trash Hero, dan Tropical Charters Sdn Bhd.

“Pemilihan penaja adalah seiring dengan fokus dan hala tuju program CSR kami. Mereka adalah syarikat dimana mempunyai tujuan yang sama kepada alam sekitar dan ianya setara dengan objektif program kami” katanya.

Menurut Izra, pihak Firefly juga berbesar hati dan terbuka kepada mana-mana korporat mahupun agensi yang ingin berkerjasama atau menaja program CSR akan datang namun biarlah ianya seiring dengan tujuan dan objektif yang diketengahkan.