Boleh dikatakan Pulau Langkawi, Kedah menjadi antara destinasi utama bukan sahaja untuk pelancong dari luar negara tetapi juga masyarakat tempatan yang ingin lari dari kesibukan kota, tak kira pada hujung minggu atau cuti umum.

Kebiasaannya jika ke Pulau Legenda itu, antara tempat tumpuan yang wajib dikunjungi termasuklah Pantai Cenang yang meriah, pekan Kuah ‘syurga’ bagi yang gemar membeli-belah, selain tempat-tempat bersejarah.

Namun, segala keindahan alam ini seolah-olah ‘mati’ oleh sikap segelintir manusia yang tidak langsung punya kesedaran sivik. Pantai yang indah dicacatkan dengan sampah sarap pembungkus makanan, botol plastik, puntung rokok, sisa makanan malah ada juga yang membuang besi pemanggang berkarat di tepi pantai yang sekaligus menjadi faktor bahaya kepada pengunjung.

Paling menyedihkan, apabila botol plastik, tali, pembungkus makanan juga turut dibuang di tengah lautan. Siapakah yang harus dipersalahkan? Sampai bilakah kita perlu menuding jari pada pihak lain sedangkan kesedaran kebersihan alam patut ada dalam diri masing-masing?

 

Program kutip sampah

Syarikat penerbangan jarak dekat, Firefly Airlines dengan kerjasama dari beberapa penaja menjayakan Program kutip sampah di pulau Langkawi sempena kempen ‘World Clean Up Day 2019’. Program tanggung jawab sosial korporat (CSR), ini merupakan julung kali diadakan oleh Firefly bertemakan alam sekitar dimana sebelum ini hanya bertumpukan kepada tanggung jawab kemanusiaan sahaja.

 

Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Firefly, Cik Izra Izzuddin berkata, ini merupakan program pertama CSR yang memfokuskan tentang kelestarian alam sekitar. Manakala, Pulau Langkawi dipilih kerana ianya salah satu lokasi perjalanan penerbangan syarikat penerbangan ini.

Firefly amerupakan ‘Green Airline’ kerana mengendalikan pesawat ATR 72-500 di mana strukturnya diperbuat daripada kira-kira 20 peratus komposit, yang membantu mengurangkan pembakaran dan pelepasan bahan bakar. Secara tidak langsung, usaha ini adalah bagi menggalakkan gaya hidup lebih mesra alam dan ekologi yang boleh membantu melindungi alam sekitar.

 

Penginapan latar hijau

Setibanya di Langkawi, kami disambut mesra oleh kakitangan penginapan yang disediakan. Melangkah masuk, suasana nyaman dan pandangan hijau yang cukup merawat badan yang penat. 

Frangipani Langkawi Resort & Spa telah memenangi Anugerah Langkawi bagi kategori organisasi/persatuan yang menjalankan aktiviti-aktiviti kitar semula dan penjimatan tenaga yang memberi sumbangan yang signifikan kepada persekitaran dan komuniti sekitarnya.

 

 

Pada hari pertama, kami telah dibawa melawat kolaborasi kajian berkaitan aspek rawatan air bagi tanah bencah (wetland) buatan dengan menggunakan tumbuhan seperti semalu air (Neptunia oleracea), pokok canna air (Thalia geniculata), kiambang, duckweed (Lemna minor), rumput vetiver (vetiveria zizanioides), lili (Nymphaea) and kangkung (Ipomoea forskal).

 

 

Tumbuhan ini berupaya mengurangkan bahan pencemar secara semulajadi dan meningkatkan kualiti air. Kadar perubahan peningkatan kualiti air melalui sistem rawatan ini adalah dilaporkan melebihi 90 peratus.

Frangipani secara keseluruhannya mengamalkan penggunaan teknologi hijau yang mempunyai potensi bagi kegunaan sektor industri, pertanian dan domestik.

 

Kami juga turut dibawa ke ladang ternakan dan tanaman, dan disini jugalah kali pertama penulis melihat dan mengenali pokok cincau dan pembiakan lalat untuk proses pembuatan baja kompos. Penulis sangat menyarankan anda kesini bagi mempelajari dan melihat sendiri teknologi alam hijau yang diamalkan disini.

 

 

Debaran pandu jet ski ke pulau kecil

Seperti sedia maklum, Pulau Langkawi merupakan antara syurga pulau yang menjadi tumpuan pelancong bukan sahaja dari dalam dan juga luar negara. Disinilah, kita dapat melihat pelbagai aktiviti pantai diadakan seperti jet ski, bot kayuh, perahu layar, parasailing, snorkeling dan pelbagai lagi.

Namun, tidak pernah terfikir bahawa kita juga boleh merentasi ke pulau-pulau kecil dengan tujuan untuk mengutip sampah. Satu aktiviti yang menarik dimana masih belum lagi menjadi pilihan bagi para pelancong.

 

Dengan usaha CSR dari Firefly Airlines dibantu oleh syarikat pelancongan jet ski, Megawatersport Jetski Tours yang menyediakan 7 buah jet ski bagi kakitangan dan juga media ke pulau-pulau kecil ini, ianya merupakan satu pengalaman baharu bagi para peserta. 

Apa yang lagi mendebarkan, jet ski tersebut perlulah dipandu sendiri namun di pantau dan diberi latihan pemanduan terlebih dahulu oleh para pelatih.

 

 

Dengan jet ski ini, para peserta dibawa ke 8 buah pulau kecil untuk dilawati dan menikmati keindahan alam. Seterusnya, peserta dibawa pula singgah ke Pulau Dayang Bunting dan Pulau Kentut Kecil bagi menjayakan aktiviti mengutip sampah.

Menurut pemilik jet ski Hussein Mohd Said, pihaknya amat berbesar hati dapat berkerjasama dengan Firefly dalam usaha mengutip sampah seperti ini.

 

 

“Aktiviti seperti ini sudah banyak kali kami lakukan, namun apabila ada pihak korporat seperti ini yang mahu bersama-sama menjayakannya, saya amat berbesar hati dan melihat ini satu usaha murni dan berharap akan ada banyak lagi syarikat korporat, individu mahupun mana-mana agensi turut serta di masa akan datang” katanya.

Disini, peserta bukan sahaja dapat melihat keindahan alam tetapi dalam masa sama, fokus kesedaran kebersihan pulau dapat dilaksanakan. Lebih kurang 15 kilogram sampah plastik dan botol dapat dikumpulkan seterusnya dikitar semula.

 

 

 

Berbalik kepada pengalaman memandu jet ski, ianya adalah baru bagi penulis merasai sendiri perasaan yang bercampur baur. Macam-macam dirasakan. Ada rasa debar, takut dan fobia merasai sendiri melawan gelombang air dengan jet ski berkelajuan 90 kuasa kuda dan spesifikasi 1000 cc. Ianya benar-benar mencabar bagi amatur seperti kami namun tetap mampu memberi kepuasan.

Kepuasan dirasai bukan sahaja dapat memandu jet ski sendiri malah dalam masa sama fokus untuk membersihkan pulau-pulau kecil tercapai dengan jayanya.

 

Trash Hero wira alam

Sekitar 1.30 petang, kelihatan beberapa sukarelawan ‘Trash Hero Langkawi’ sudah mula menanti kumpulan kakitangan Firefly dan media di ruang legar dewan penginapan Frangipani Hotels & Resort. Kami disambut dengan senyuman dan diterangkan fokus utama program.

Ketua Trash Hero Langkawi Zuraidah Zainal Abidin turut memperkenalkan beberapa pihak yang akan turut serta membantu menjayakan program ini. Kali ini, kami ke Pulau Tengah pula dan sebelum itu setiap peserta diberi plastik hijau bagi sampah yang boleh dikitar semula, plastik hitam bagi sampah buangan dan bekas kecil bagi sampah sisa seperti puntung rokok. 

 

 

Zuraidah juga yakin inisiatif menjaga alam sekitar ini bakal membuka mata masyarakat seterusnya memberi kesedaran kepada mereka kepentingan usaha tersebut.

“Trash Hero Langkawi mahu orang ramai sedar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar termasuk persekitaran pulau kita yang cantik ini. Kami akan terus tanam kesedaran kepada masyarakat dengan melaksanakan aktiviti seperti ini pada masa depan,” katanya.

 

Untuk makluman, Trash Hero amat mengalu-alukan penglibatan orang ramai dalam menjaga kebersihan alam. 

 

Mengintai matahari terbenam di atas bot

Selepas penat berjet ski dan mengutip sampah, pengamal media bersama kaki tangan Firefly, dibawa melayari laut Langkawi dengan Tropical Sunset Cruise dari Tropical Charters Sdn Bhd. Ketika ini, perasaan sangat seronok dapat melepaskan penat lelah sambil melunjur kaki menikmati angin sepoi yang nyaman.

Pelayaran selama 3 jam bersama-sama pelancong lain memberi gambaran anda seperti Paris Hilton diatas kapal mewah. 

 

 

Sewaktu diatas kapal, anda boleh menikmati makan malam dan minum tanpa had disamping berhibur bersama-sama penumpang yang lain. Walupun terdapat minuman beralkohol, penumpang muslim boleh sahaja menikmati minuman lain seperti coca cola, sprite, jus buah dan pelbagai lagi.

 

Berada di atas kapal sambil melihat krew kapal memanggang ayam adalah satu pengalaman baru. Lebih-lebih lagi, anda juga boleh mencuba jakuzi laut diatas jaring yang dibentang di bahagian belakan kapal.

 

 

Menurut pemilik, Dato Alexander J. , Tropical Sunset Cruise bukan sahaja untuk membawa pelancong namun mereka juga turut mengadakan program membawa pelajar sekolah secara percuma bagi sesi pembelajaran khusus kepada alam semulajadi dan hidupan laut. 

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana sekolah yang berminat boleh terus hubungi mereka di laman web www.tropicalcharters.com.my

 

Penulis berharap, agar lebih banyak lagi syarikat atau badan korporat mahupun agensi kerajaan kehadapan berkerja sama dengan pengamal media bagi usaha-usaha melestarikan alam dan dalam masa sama dapat memberi kesedaran dan maklumat kepada orang awam.

Kita perlu lebih mempromosi kempen-kempen seperti ini agar dapat mendidik orang awam betapa pentingnya tanggung jawab bersama dalam usaha alam bebas sampah.

Terima kasih kepada Firefly Airlines atas usaha yang dijalankan.