KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara akan beroperasi seperti biasa esok berikutan keadaan jerebu semakin pulih.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.

“Bagi mendapat maklumat terkini tentang penutupan akibat jerebu, sila layari portal KPM di www.moe.gov.my atau di saluran media sosial rasmi KPM (Facebook /Instagram / Twitter) @kempendidikan,” kata kementerian itu kenyataan petang ini.

Terdahulu, media melaporkan keadaan jerebu di seluruh negara semakin pulih apabila tiada lagi kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), sangat tidak sihat melebihi 200.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), http://apims.doe.gov.my, bacaan IPU di Johan Setia, Selangor, juga mengalami penurunan daripada 212 (jam 8 pagi) 195 pada jam 5 petang tadi.

Dalam pada itu, secara keseluruhannya sebanyak 34 lokasi merekodkan bacaan IPU, kurang sihat iaitu antara 101 hingga 200, manakala 33 lagi mencatatkan bacaan IPU, sederhana (51-100).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Advertisements