SHAH ALAM – Kira-kira 10,000 orang dijangka menyertai Larian Menjunjung Kasih 2019 yang akan diadakan pada 8 Disember ini sempena Hari Keputeraan yang ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bakal diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata program ini bukan sahaja tertakluk kepada acara larian malah terbuka juga kepada beberapa acara lain seperti street soccer, sukan rakyat, permainan kanak-kanak dan busking.

Bagi acara larian pula, ianya terbahagi kepada tiga kategori iaitu 5km, 10km dan 21km.

“Tahun ini kita ada kategori 21 km dan ianya sama seperti acara PJ Half Marathon”

“Bagi kategori hadiah pula, kita mempunyai hadiah cabutan bertuah yang lebih menarik daripada hadiah berlari, bagi penggemar acara larian seperti ini, mereka lebih gemar hadiah cabutan bertuah dari hadiah berlari” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya dalam usaha untuk bekerjasama dengan Toyota Malaysia dalam pemberiah hadiah berupa Toyota Yaris atau Toyota Vios. Selain itu, hadiah motorsikal Yamaha Y15 juga bakal dipertimbangkan dan masih dalam perancangan.

 

“Kita masih lagi dalam usaha untuk bekerjasama bersama Toyota untuk pemberian hadiah berupa samada Toyota Yaris atupun Toyota Vios. Kita juga akan mempertimbangkan hadiah motor Y15” katanya ketika sidang media sebentar tadi.

Penganjuran kali ke-5 Larian Menjunjung Kasih akan diadakan pada 8 Disember 2019 bertempat di Padang Timur Petaling Jaya. Pendaftaran dibuka sehingga 1 November ini menerusi laman web www.jomrun.com