KUALA LUMPUR: Perbicaraan tiga kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan tuduhan pengubahan wang haram ditangguhkan selepas pihak pendakwaan membuat permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Permohonan itu dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie, di sini, hari ini.

Azura Alwi menetapkan 2 Oktober depan untuk pengurusan kes dan meminta pihak pendakwaan untuk memberi perkembangan terkini permohonan itu kepada mahkamah.

“Notis penangguhan kes itu difailkan pada 19 September lalu.

“Kami memohon mahkamah untuk menukar tarikh perbicaraan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Abdul Azeez , 52, juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut mengesahkan perkara itu.

Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan turut memfailkan permohonan memindahkan kes membabitkan abang Abdul Azeez, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim, 61, yang didakwa atas dua tuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez secara rasuah menerima wang tunai berjumlah RM4 juta.

Pada 16 Jan lalu, Abdul Azeez didakwa atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi.

Beliau juga didakwa atas sembilan tuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat syarikat di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan 2018.

Kesemua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Sementara itu, Abdul Latif turut mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan bersubahat dengan Abdul Azeez menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.