Pelantikan itu dilakukan berikutan Najib memiliki kuasa kerana tiga peranan utama bekas Perdana Menteri itu terkandung dalam Artikel Persatuan (M&A) 1MDB iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi BOA 1MDB.

Tujuh individu dilantik Najib termasuk Menteri Qatar, Sheik Hamad Jassim Jabar Al-Thani; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi),Tan Sri Datuk Nor Mohamed Yakcob dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata peranan Najib sebagai Perdana Menteri meliputi kuasa melantik dan menggugurkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan kanan syarikat berkenaan.

Selain mengeluarkan arahan, katanya, Najib juga adalah pembuat keputusan seperti termaktub dalam Artikel 117 M&A.

“Peranan sebagai Menteri Kewangan pula (merujuk kepada Artikel 6) adalah satu-satunya pemegang saham 1MDB dan kepentingan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.)

“Peranan beliau sebagai Pengerusi BOA 1MDB adalah melantik ahli lembaga yang lain dan mempengerusikan mesyuarat BOA merujuk kepada Artikel 93,” katanya.

Katanya, sejak pelantikan dibuat, hanya sekali atau dua kali saja mesyuarat BOA diadakan di Pejabat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, saksi itu menjelaskan bahawa mesyuarat itu tidak dihadiri oleh penasihat dari luar negara.

Beliau berkata, mesyuarat BOA bertujuan menyampaikan status pelaburan dan rakan kongsi strategik dan projek-projek besar 1MDB yang dirancang untuk masa depan saja.

Perbicaraan yang masuk hari ke-13 sedang berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.