BEKAS pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad, 57, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), jam 11.53 pagi ini.

Perkara ini disahkan oleh rakan baiknya, Ashaari Mohd Nasir menerusi kenyataan yang dihantar kepada media.

Difahamkan, mesin bantuan pernafasan ditanggalkan pada jam 11.46 pagi tadi.

Sebelum ini arwah pernah dimasukkan ke hospital sama pada 3 September lalu akibat masalah pernafasan tetapi dibenarkan keluar dua hari selepas itu.

Arwah meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Salehuddin Al Ayubi Taman Melati untuk solat jenazah.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathul Sakinah, Taman Selasih selepas Zohor.