LUMUT- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghormati pendirian bapa Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, yang mahu inkues dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian pegawai tentera itu.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, berkata apa yang disuarakan bapa pegawai komando itu adalah hak peribadi AR Badul.

“Itu adalah hak peribadi beliau dan kita kena hormati apa sahaja yang beliau kehendaki, jadi kita tunggu proses seterusnya.

“Tentera Darat Malaysia (TDM) sudah keluarkan kenyataan semalam dan kita yakin langkah seterusnya TDM akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Zulkifli berkata demikian pada sidang media selepas memeriksa Perbarisan Hari ATM Ke-86 di Padang Kawad Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini.

Beliau berkata, apabila semua urusan sudah selesai dan dimuktamadkan, ATM akan memanggil keluarga Allahyarham untuk menerangkan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.

“Proses itu kita kena tunggu apabila semua sudah selesai dan selama ini kita sentiasa berhubung dan ada lawatan dibuat kepada keluarga arwah,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

BH melaporkan, AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 70, mahu satu inkues dijalankan terhadap kematian Mohd Zahir bagi mengetahui punca sebenar kematian pegawai komando itu.

Badul menyifatkan penjelasan diberikan TDM berhubung siasatan kematian anaknya terlalu ringkas dan tidak menyeluruh.

Balu Allahyarham Mohd Zahir, Nour Shafinar Harun, 36, pula dilaporkan berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan menerima keputusan lembaga siasatan kerana memahami risiko sebagai anggota tentera dalam apa juga situasi termasuk latihan.

Terdahulu, TDM dalam satu kenyataan dikeluarkan memaklumkan tragedi menimpa Allahyarham diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil dan kemalangan dalam latihan.

Mohd Zahir, 36, pegawai komando daripada 11 Rejimen Gerak Khas (RGK) meninggal dunia 4 September lalu, selepas terkena tembakan ketika melakukan aksi demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.