KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meluluskan cadangan Bridging Loan (Pinjaman jangka pendek) berjumlah AS$1.75 bilion melalui pengeluaran nota pinjaman berstruktur selama 10 tahun bagi pengambil alihan syarikat Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB).

Kelulusan itu adalah mengikut Seksyen 6 Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965 di mana setiap ‘further indebtedness’ (keberhutangan akan datang) dalam apa bentuk sekalipun mesti mendapat kelulusan Menteri Kewangan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata kelulusan itu dibuat Najib selaku Menteri Kewangan ketika itu.

Beliau berkata, kelulusan itu diperoleh selepas mendapat kelulusan dalaman 1MDB iaitu daripada Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pemilik saham 1MDB iaitu Kementerian Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), iaitu Najib.

“Saya ingin menjelaskan bahawa selepas 1MDB dahulunya TIA (Lembaga Pelaburan Terengganu Sdn Bhd) menerima jaminan Kerajaan Persekutuan pada Mei 2009, 1MDB adalah tertakluk kepada Akta Loan Guarantee di mana 1MDB tidak boleh membuat sebarang pinjaman baharu kecuali dengan kelulusan Menteri Kewangan.

“Dalam penerbitan bon pada 2012, saya mengesahkan bahawa 1MDB ada mendapat kelulusan bertulis daripada Menteri Kewangan dan Jasmine Loo (peguam 1MDB) turut terbabit dalam proses mendapatkan tandatangan Najib pada masa itu.

“Saya bagaimanapun tidak terbabit dalam urusan itu. Saya tidak pasti sama ada terbitan bon ini ada melalui proses yang sepatutnya di Kementerian Kewangan atau tidak sehingga kelulusan diberikan oleh Najib atas kapasitinya sebagai menteri kewangan,” katanya.