SEBAHAGIAN kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad akan diambil bekerja oleh pengurusan syarikat baru.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, (syarikat) Utusan sudah diambil alih oleh syarikat baru.

“Sebahagian kakitangan Utusan akan diserap oleh syarikat yang baru,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa (IGEM) di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC), Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam dilaporkan nasib 800 kakitangan Utusan menjadi tanda tanya apabila operasi syarikat akhbar itu dikatakan akan ditamatkan.

Ia dipercayai susulan keputusan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang akan mengumumkan kebankrapan sukarela syarikat itu.

Manakala, Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar berkata, semua kakitangan sudah diarah mengosongkan meja masing-masing selewat-lewatnya 1 tengah hari, semalam.