KUALA LUMPUR – Sebuah rumah pangsa di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, diisytiharkan tidak selamat diduduki selepas terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku malam tadi.

Sehubungan itu, seramai 65 orang penghuni daripada 24 buah rumah terpaksa dipindahkan ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail sebagai langkah keselamatan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan awal hari ini, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.08 malam.

“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Ismail serta 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) digerakkan ke lokasi.

 

“Setibanya di lokasi, bomba mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di belakang kawasan flat tersebut berkeluasan 1,500 kaki persegi dan sedalam 19 kaki,” katanya.

Anggota menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.

Pihak polis juga ada membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Operasi memindahkan penghuni flat itu ditangguhkan buat waktu ini sementara menunggu penyiasatan lanjut.