KUALA LUMPUR- Kerajaan sukar menawarkan harga tinggi kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi memastikan orang Melayu dapat membeli semula hartanah di situ.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata jika kerajaan menawarkan pembelian harga tanah pada kadar semasa, kos pembangunan di Kampung Baru akan turut meningkat.

“Kita lihat di mana orang Melayu memiliki tanah, mereka miskin, mereka jual dengan harga yang baik tetapi mereka tak dapat balik dah (hartanah berkenaan).

“Tanah itu akan dimiliki orang lain. Tetapi Kampung Baru ini, kita perlu penghuninya terdiri daripada orang Melayu dan kebanyakan orang Melayu tak (mampu) beli pada harga yang mahal.

“Kalau kita nak ikut harga pasaran, orang Melayu tidak akan masuk semula ke Kampung Baru,” katanya selepas menyempurnakan Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia (MEDEX) 2019 di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata kerajaan akan membuat tawaran baharu dan muktamad kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi menyelesaikan kemelut pembangunan kampung itu.

Tawaran berkenaan yang bakal diumumkan minggu depan disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan, susulan perbincangan Khalid dengan Dr Mahathir, minggu lalu.

Dr Mahathir menjelaskan kerajaan hanya menawarkan kadar istimewa kepada pemilik tanah terbabit supaya mereka mampu membeli semula unit hartanah yang dibangunkan.

“Kalau kita nak ikut harga tanah di luar Kampung Baru, ada yang sampai RM7,000 sekaki persegi. Jika kita buat macam itu (tawar harga tinggi), orang Melayu sudah tidak lagi tinggal di Kampung Baru.

“Sebab itu kita bagi harga istimewa, murah, kita pun boleh buat bangunan apartment (pangsapuri) dan flat yang lebih murah, yang mampu milik kepada orang Melayu,” katanya tetapi tidak mengulas harga baharu yang akan ditawarkan.