Siasatan kes pembunuhan kejam dua beranak yang mayatnya dikerat lapan sebelum dibuang di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong, Khamis lalu, sudah hampir lengkap.

Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim berkata, penyiasatan kes itu dianggap selesai selepas polis menahan suspek, Sabtu lalu.

“Ia (siasatan) 98 peratus dah selesai… cuma ada perkara lain turut kita lihat,” katanya.

Dalam pada masa sama, Mat Kasim berkata, setakat ini, tiada suspek lain termasuk ahli keluarga suami mangsa ditahan untuk membantu siasatan.

“Setakat ini kita tidak (tahan ahli keluarga suami mangsa),” katanya.

Ditanya sama ada suspek, warga Singapura ditahan Sabtu lalu yang juga suami mangsa akan didakwa di mahkamah minggu ini, beliau hanya memberi jawapan siasatan masih dijalankan.

Khamis lalu, dilaporkan wanita dan anak lelakinya itu dipercayai bunuh di rumahnya sebelum mayat mangsa dicampak di kawasan semak di Kampung Ladang, Krubong.

Mayat mereka kemudian ditemui oleh pemotong rumput yang sedang bekerja di kawasan itu.

Bahagian kepala dua beranak itu pula ditemui polis di siling rumah mangsa di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, kira-kira 8 malam, Jumaat lalu.

Susulan kejadian, polis menahan lelaki warga Singapura yang juga suami mangsa, Sabtu lalu, kerana disyaki terbabit dalam kes pembunuhan itu.