KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tidak bersetuju dengan desakan pihak tertentu supaya ijazah sarjana muda milik Wong Yan Ke, 23, ditarik balik kerana menunjukkan plakad ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ semasa konvokesyen Universiti Malaya (UM).

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menegaskan setiap orang bebas untuk bersuara dan perkara itulah yang perjuangkannya sejak dari dahulu lagi.

“Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan gesaan untuk menarik balik ijazah pelajar itu. Kita boleh kritik & kecam tindakan beliau tanpa merampas ijazah yang diusahakan selama lebih 4 tahun,” dalam ciapan terbaharu menerusi akaun Twitternya di sini, malam tadi.

Syed Saddiq berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) yang melancarkan petisyen di media sosial bagi menuntut UM menarik balik ijazah pertama milik Yan Ke kerana pembuatan biadapnya, beberapa hari lalu.

Malah, difahamkan hampir 90,000 individu menandatangani petisyen menuntut UM menarik balik ijazah sarjana muda milik Yan Ke susulan tindakannya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau memang menghormati hak demokrasi dan kebebasan bersuara setiap rakyat Malaysia, namun semua itu harus dipandu dengan sikap bertanggungjawab.

“Dalam kita bebas bersuara, kita juga perlu belajar untuk menghormati keadaan atau situasi setempat. Jangan disebabkan kita, saat gembira dan bermakna orang lain tercalar. Majlis konvokesyen adalah majlis untuk kita meraikan kejayaan para pelajar dan yang lebih penting, untuk ibu bapa bangga melihat anak-anak mereka bersarung jubah dan menerima segenggam ijazah.

“Mungkin bagi kita, segulung ijazah tidak penting, tetapi bagi ibu dan bapa kita, itu sangat bermakna dan membahagiakan. Saya tidak nafikan hak pelajar untuk bersuara tetapi saya secara peribadi percaya itu bukanlah tempat yang terbaik untuk protes kerana hari itu bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi untuk kawan-kawan dan keluarga mereka juga,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq juga menceritakan pengalamannya sendiri yang pernah disekat daripada menghadiri majlis konvokesyen kerana kelantangannya saya menentang rasuah dan salah guna kuasa.

“Jadi, saya faham bagaimana rasanya suara kita disekat, dikenakan tindakan hanya kerana tidak setuju dengan pentadbiran universiti, mahupun negara. Dalam meraikan pendapat semua pihak, kita harus bersedia untuk bersetuju dengan yang tidak bersetuju.

“Siapa yang tak nak hadir majlis konvokesyen sendiri setelah 4 tahun berpenat lelah menuntut ilmu? Akhirnya, “majlis konvokesyen” di Airport bersama mama & abuyah,” katanya.