Shah Alam – Kärcher Malaysia hari ini menganugerahkan 4 anugerah penghargaan kepada warga pekerja pembersihan sempena “Hari Penghargaan kepada Pekerja Pembersihan” (TYCD). Anugerah yang terbahagi kepada empat kategori, kategori: Anugerah Pembersihan Terbaik (Individu), Anugerah Pengurus Terbaik (Individu), Anugerah Syarikat Amalan Terbaik dan Anugerah Pemimpin Berpengaruh (Individu) itu melibatkan persainag 150 anggota Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pembersihan Malaysia (MACC).

Anugerah disampaikan oleh Pengurus Besar Kärcher Malaysia, William Kiew kepada Mohd Madzrie Bin Raja Omar (Anugerah pekerja pembersihan terbaik – Harta Maintenance Sdn Bhd), Sahadan Bin Fiee (Anugerah pengurus terbaik – Harta Maintenance Sdn Bhd, Faizal Rahim Bin Hj Moidunny (Anugerah syarikat pembersihan terbaik – Harta Maintenance Sdn Bhd dan Noruddin Bin Idris (Anugerah pemimpin terbaik – Q- Services Sdn Bhd).

William berkata penganugerahan dan kerjasama dengan MYCC ini adalah sebagai membuka langkah terbaik bukan sahaja bagi industri pembersihan namun dalam masa sama mengubah stigma masyarakat mengenai pekerja pembersihan.

“Industri dan pekerja pembersihan seringkali menerima tanggapan negatif dan saya berbangga dengan adanya kerjasama seperti ini , ianya dapat mengubah pandangan masyarakat dan seterusnya mampu menjadi pilihan kerjaya”.

“Walau bagaimanapun, saya sedari bahawa untuk mengubah minda orang awam, ia tidak akan berlaku dengan mudah. Akan tetapi kita boleh bermula dengan menghargai pekerja pembersihan kita dan membuat mereka rasa dihargai” katanya.

Persatuan Kontraktor Perkhidmatan Pembersihan Malaysia (MACC), Noruddin Haji Idris berkata, industri pekerja pembersihan pada masa kini memerlukan perhatian dari pihak kerajaan sekiranya ia perlu membuka ruang dan peluang pekerjaan dari warga tempatan.

“Kita sedia maklum, gaji minimum kini telah dinaikkan kepada RM1200 namun ianya merupakan jumlah yang kecil kepada rakyat tempatan, ini kerana gaji bersih setelah ditolak potongan EPF dan Socso adalah tidak cukup bagi menampung keperluan. Maka, rakyat tempatan lebih cenderung mencari pekerjaan lain”.

“Kita perlu berkerjasama dengan kerajaan agar dapat membantu para kontraktor dengan menaikkan bayaran agar kami dapat memberi gaji yang lebih kepada pekerja pembersihan. Kerjasama dua belah pihak amat penting”. katanya ketika ditanya Malaysianews TV.

Acara TYCD ini bermatlamat untuk mewujudkan kesedaran mengenai kerja-kerja pembersihan dalam mengekalkan kebersihan ketika melakukan tugasan harian mereka. TYCD meraikan dan mengiktiraf sumbangan penting yang dibuat pekerja pembersihan kepada kehidupan seharian kita dan membawa nilai kembali ke industri pembersihan.

Kärcher juga membentangkan “Connected Cleaning” sebuah portfolio produk digital di mana semua komponen berfungsi dengan lancar bersama yang menggabungkan Kärcher Fleet dan Kärcher Manage ke satu platform. Pendekatan ini mengubah amalan kerja semasa ke digitalisasi teknologi pembersihan untuk menghasilkan sinergi yang berkesan, mencapai kecekapan dan penjimatan kos yang lebih baik. Sementara itu, MACC mengambil bahagian untuk berkongsi tentang produktiviti pembersihan untuk manfaat para pembekal pembersihan yang hadiri.