Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan nada sindiran mengucapkan ‘tahniah’ kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof kerana menunaikan impian rakyat Malaysia untuk melihat kereta terbang menjelang tahun 2020.

Khairy berkata ketika Wawasan 2020 diperkenalkan dia hanya berumur 15 tahun dan telah membayangkan mempunyai kereta terbang menjelang tahun 2020.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada menteri, sekurang-kurangnya impian untuk melihat kereta terbang tidak akan ditangguhkan sehingga fasa seterusnya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030).

“Yang berhormat menteri seorang sahaja yang dapat menepati janji 2020,” katanya dalam soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Usahawan.

Terdahulu Khairy meminta Redzuan menyatakan tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan dan “bila seluruh rakyat Malaysia boleh melihat menteri menaiki kereta terbang”.

Redzuan sebelum itu berkata projek berkenaan akan dilancarkan hujung tahun ini.

Jelas Redzuan, prototaip kereta terbang itu yang sedang dibangunkan oleh syarikat usahawan negara ini di Jepun dan kini pada peringkat 85 peratus siap sebelum ia dapat diuji di ruang udara.

Beliau berkata, ia dibina di Jepun berikutan negara terbabit lebih terbuka dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan sedemikian.