SHAH ALAM – Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Mira Filzah menghadiahkan kereta Nissan X-Trail 2.0L Hibrid yang dimenangi, kepada keluarga.

Menerima kenderaan bernilai RM159, 888 sumbangan Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd di sini, hari ini, Mira berkata, dia mahu berkongsi rezeki dengan insan tersayang.

Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 26, mengaku niat menyerahkan kereta itu kepada keluarga, terdetik sebaik sahaja diumumkan sebagai Bintang Paling Popular.

“Selain faktor saya sudah ada dua kenderaan, tujuan saya menghadiahkan kereta ini adalah kerana mahu berkongsi rezeki dengan keluarga. Mereka banyak memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya selama ini.

“Kebetulan Nissan X-Trail 2.0L Hibrid yang saya menang ini ada ruang luas, jadi memang sesuai kami sekeluarga guna untuk ke mana-mana,” katanya selepas menerima kenderaan itu di galeri jualan dan servis ETCM, di sini.

Pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian Cinta Si Wedding Planner ini menyifatkan, kereta dimenangi sesuatu yang bermakna dan memiliki nilai sentimental.

“Setiap kali bila saya melihat kereta ini, ia akan mengingatkan saya kepada kerja keras dan sokongan peminat yang meletakkan saya ke tahap sekarang.

“Hadiah ini akan menjadi pembakar semangat untuk saya terus memperbaiki mutu kerja dan memberikan yang terbaik kepada peminat,” katanya.

Mira menerima hadiah itu daripada Timbalan Pengurus Kanan, Komunikasi Pemasaran ETCM, Phang Rick Kee dan Ketua Pematuhan Sasaran Jualan Wilayah Tengah ETCM, Yeoh Hee Huat.

Majlis penyerahan itu disaksikan Pengarang Eksekutif Komersial dan Ehwal Semasa BH merangkap Pengerusi ABPBH 32, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Yang turut hadir Pengarang Hiburan BH merangkap Timbalan Pengerusi Pengelola ABPBH 32, Shamshul Azree Samshir.

Pada malam kemuncak ABPBH 32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 September lalu, Mira diumumkan Bintang Paling Popular dengan meraih 6,320,463 undian.

Mira turut merangkul trofi Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dan Pelakon Filem Wanita Popular serta kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.