KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menegaskan tidak menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan yang menunjukkan tanda protes pada sidang Istiadat Konvokesyen universiti itu, Isnin lalu.

Sebaliknya, pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat sudah dilakukan sejak 12 Oktober lalu hingga esok.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tengku Datuk Dr Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim, berkata graduan terbabit sudah dimaklumkan bahawa transkrip akademiknya boleh diambil pada bila-bila masa bermula semalam.

“Semua graduan boleh mengakses dan mencetak skrol atas talian melalui graduand.um.edu.my mulai Isnin ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Penggerak Mahasiswa UM (PMUM) yang melancarkan petisyen di media sosial menuntut UM menarik balik ijazah pertama Wong Yan Ke kerana perbuatan biadapnya ketika majlis istiadat konvokesyen universiti itu.

Difahamkan hampir 90,000 individu menandatangani petisyen menuntut UM menarik balik ijazah sarjana muda milik graduan itu.

Graduan kejuruteraan awam itu mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan, ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’, selain melaungkan perkataan itu sambil menjerit “ini tanah Malaysia” selepas menerima ijazah di atas pentas bagi sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM Kali ke-59.

Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, pihaknya berpandangan perbuatan graduan itu tidak menghormati Istiadat dan mencemarkan majlis, selain graduan yang diraikan serta ibu bapa dan tetamu yang hadir.

“Lembaga Pengarah Universiti amat kesal dengan kejadian itu, dan memohon maaf kepada graduan, ibu bapa dan semua tetamu jemputan atas gangguan kepada majlis,” katanya.

Katanya, pihaknya memandang serius tuduhan dan laporan negatif yang bertentangan dengan prinsip didukung UM sebagai institusi pengajian tinggi.

Beliau menegaskan UM sentiasa mendukung dan memartabatkan kebebasan akademik dan keintelektualan serta bersifat neutral dan tidak berpihak.

Dalam konteks itu, Lembaga Pengarah Universiti berpendapat bahawa matlamat pendidikan bukan hanya menyampaikan ilmu tetapi juga membina sahsiah dan keperibadian individu agar mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai murni.

“UM berpandukan kepada matlamat ini dalam melaksanakan amanah yang digalas. Bagaimanapun, untuk mencapai matlamat ini, tanggungjawab harus turut dipikul mahasiswa agar potensi diri dapat dibina ke tahap paling optimum.

“Kami menghormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawah universiti ini. Setiap warga termasuk mahasiswa diberikan kesempatan dan ruang menyuarakan pendapat serta pandangan dalam apa juga aspek.

“Tetapi dalam melaksanakan kebebasan itu, hak orang lain juga perlu dihormati,” katanya.

Dr Mohd Azzman Shariffadeen berkata, UM sentiasa mengangkat penyebaran ilmu dan wacana ilmiah sebagai agenda lazimnya dan atas dasar itu juga, Kongres Maruah Melayu dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) pada 6 Oktober lalu.

Katanya, penganjuran kongres itu sebagai wacana akademik bagi mengenal pasti, membincang dan mencadangkan resolusi kepada pelbagai cabaran yang dihadapi orang Melayu dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan agama.

Bagaimanapun, sejajar dengan matlamat universiti serta prinsip yang didukung, pihak pengurusan universiti akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat dan dinamik agar program yang disertai mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara.