KUALA LUMPUR – Lelaki yang bertindak memukul seorang pengawal keselamatan kondominium di Setapak semalam kerana tidak berpuas hati tayar keretanya dikunci ditahan polis bagi membantu siasatan.

Lelaki berkenaan yang meletakkan kenderaan di ruang parkir orang kelainan upaya (OKU) bertindak membelasah pengawal keselamatan warga Nepal dengan kayu golf.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pengawal keselamatan berusia lingkungan 30-an terbabit cedera di lengan dan telinga akibat dipukul suspek.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail, berkata sebelum kejadian mangsa yang mendapati terdapat sebuah kereta jenis Honda Jazz diletakkan di ruang parkir OKU bertindak mengunci tayar kenderaan itu pada jam 1.30 petang.

Menurutnya, selepas hampir setengah jam, mangsa didatangi dua lelaki yang memintanya membuka kunci berkenaan.

Namun mangsa tidak menuruti kehendak suspek dengan menyatakan perlu membayar denda di pejabat pengurusan terlebih dahulu.

“Suspek dan rakannya tidak mempedulikan kata-kata pengawal keselamatan itu dan cuba merosakkan kunci tersebut meskipun ditegur mangsa supaya tidak melakukan perbuatan itu.

Rajab berkata, rakan suspek cuba meleraikan kejadian yang turut disaksikan beberapa orang awam lain.

Menurutnya, mangsa yang cedera berlumuran darah di bahagian lengan tangan kanan dan luka telinga kanan kini masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, susulan itu polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Hasil pemeriksaan suspek didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan seorang pengawal keselamatan berlumuran darah di sebuah kawasan parkir kereta.

Dalam video berdurasi 1 minit 4 saat itu, mangsa dirakam dipukul seorang lelaki di lokasi sebelum insiden dilihat dileraikan seorang lelaki lain.

Advertisements