KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) sedang mempertimbangkan permintaan graduan kontroversi, Wong Yan Ke, 23, yang mendesak supaya laporan polis terhadapnya ditarik balik.

Ahli Lembaga Pengarah UM, Prof Dr Rofina Yasmin Othman berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dan sebarang keputusan belum dapat dipastikan.

“(Tarik balik laporan polis) itu kita kena tunggu apa-apa keputusan daripada Lembaga Pengarah UM.

“Perbincangan berterusan untuk penambahbaikan proses kami,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UM dengan Mr DIY Sdn Bhd serta penyampaian hadiah Pertandingan DIY Made Simple 2019 di sini hari ini.

Sabtu lalu, Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam mendesak pihak UM menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas dirinya sebagai bukti UM menghormati kebebasan bersuara.

Yan Ke juga meminta Naib Canselor UM, Datuk Dr Ir Abdul Rahim Hashim tampil dan membuat penjelasan mengenai ucapan didakwa berbaur perkauman ketika Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Terdahulu, pentadbiran UM mengecam tindakan Yan Ke yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen universiti itu.

Advertisements