PUTRAJAYA – Sektor awam wajar memberi peluang kedua kepada bekas banduan dan pesalah juvana bagi membolehkan mereka membina kehidupan yang baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata usaha membantu golongan terbabit tidak seharusnya tertumpu kepada sektor swasta saja.

Beliau berkata, bagi tempoh jangka panjang, kerajaan perlu memainkan peranan supaya menjadi contoh kepada semua pihak, terutama masyarakat dan syarikat swasta.

“Disebabkan hal ini pentinglah, saya juga membangkitkanya untuk perhatian Jemaah Menteri dan saya akan memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara bagi membolehkan pindaan dapat dilakukan sebaik mungkin.

“Ini penting kerana kalau kita lihat mereka yang pernah dipenjarakan atau masuk ke Sekolah Henry Gurney, kira-kira 60 peratus ialah golongan anak muda. Kebanyakan mereka buat jenayah kecil.

“Sekiranya tiada bantuan khusus hingga menyebabkan mereka tersisih apabila kembali ke dalam masyarakat, pastinya mereka ini tidak memperoleh pekerjaan. Akhirnya, akan melakukan kembali kesalahan yang membolehkan mereka kembali ke penjara ataupun pusat pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium Kemahiran Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan dan Sesi Pertukaran Penyataan Persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dan Industri 2019 di sini hari ini.

Syed Saddiq berkata, semua pihak termasuk kerajaan perlu memutuskan rantaian jenayah terbabit supaya mereka dapat kehidupan baharu.

“Kita perlu bantu mereka. Berikan peluang kedua supaya akhirnya mereka ditempatkan semula ke dalam masyarakat sebagai komuniti yang mampu membangunkan negara.

“Kementerian saya juga sudah memulakan program seperti My Future Youth, My Future Youth Plus dan Program Reben Kuning untuk membantu belia bermasalah untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, program My Future Youth Plus untuk golongan proaktif atau kategori belia berisiko, akan diberi intervensi awal, laluan khas untuk menyertai Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kursus jangka pendek atau panjang sebelum ditawar pekerjaan.

“Bagi program Reben Kuning dan My Future Youth, ia untuk belia di bawah kategori orang bawah pengawasan dan lepasan Sekolah Henry Gurney.

“Program ini memberi laluan khas untuk dilatih supaya akhirnya, walaupun mereka ada rekod lampau, tetapi mereka sudah dilatih dengan kemahiran yang membolehkan mereka ditempatkan di syarikat yang bekerjasama dengan kita,” katanya.