PONTIAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia mempertimbangkan rayuan bagi permohonan menarik balik larangan terhadap komik propaganda Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, bagaimanapun permohonan untuk tujuan itu daripada mana-mana pihak, termasuk pemimpin politik atau pengarang perlu mempunyai asas yang kukuh.

“Setakat ini kita tidak menerima permohonan rasmi daripada mana-mana pihak (untuk menarik larangan). Saya juga kena semak undang-undang jika ada ruang untuk rayuan. Saya perlu teliti perkara itu.

“Kita bersikap terbuka kerana tujuan larangan adalah untuk memastikan apa-apa ideologi dan sebagainya tidak mempengaruhi penduduk negara ini.

“Apa pun, jika ada pihak termasuk pemimpin (politik) atau pengarang berhajat untuk membuat rayuan, saya tiada halangan untuk mendengar. Tapi (mereka) perlu ada asas kukuh mengapa larangan itu perlu diteliti semula” katanya pada sidang media selepas menghadiri program ramah mesra bersama warga KDN di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media semalam mengenai Penasihat DAP, Lim Kit Siang, menggesa KDN mengkaji semula keputusan mengharamkan komik berkenaan.

KDN sebelum ini mengharamkan komik itu kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, KDN merampas 1,240 naskhah komik propaganda itu di beberapa lokasi sehingga semalam.

Beliau sekali lagi menegaskan pengharaman komik berkenaan bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa, sebaliknya dibuat demi menjaga ketenteraman awam.

Sementara itu, Muhyiddin ketika berucap pada program berkenaan, dalam nada sinis menyatakan rasa hairan apabila ribuan pelarian dari Myanmar boleh melepasi sempadan negara tanpa sebarang dokumen setiap bulan.

“Macam mana mereka boleh masuk? Luar biasa! Aneh… Malah mereka boleh sampai ke ibu negara ke pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian (UNHCR) untuk mendapatkan kad pelarian.

“Ini yang berlaku. Kita akan susun dan teliti semula isu ini. Sepatutnya, sebelum masuk ke negara ini dan berdaftar dengan UNHCR, mereka perlu berdaftar dengan kita dulu.

“Ini masuk tanpa sebarang dokumen, kalau dalam keadaan biasa mesti sudah kena tahan,” katanya.

Muhyiddin di Dewan Rakyat semalam, dilaporkan berkata, kerajaan kini perlu membabitkan diri dalam urusan menentukan status pelarian pemegang kad UNCHR kerana ia membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.