BACHOK – Keluarga anggota polis yang maut bersama isterinya dalam kemalangan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pagi tadi terkejut selepas dimaklumkan isteri mangsa sedang hamil anak kembar.

Mangsa, Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam dan isterinya, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, meninggal dunia selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian jam 7.59 pagi.

Kakak Muhammad Syakiran, Nur Azmawati Shamsuddin, 37, berkata keluarga hanya mengetahui adik iparnya itu mengandung anak kembar selepas proses bedah siasat selesai dijalankan kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Katanya, usia kandungan sudah memasuki dua bulan dan kandungan itu adalah anak kedua pasangan berkenaan yang sebelum ini dikurniakan anak lelaki, Muhammad Arfan Ziqri, 1 tahun 10 bulan.

“Kami memang terkejut sebaik mengetahui arwah hamil anak kembar. Memang arwah tidak memaklumkan apa-apa sebelum, mungkin disebabkan usia kandungan masih awal.

“Malah, kami turut dimaklumkan oleh adik beradik di Kuala Lumpur bahawa mereka turut menemui buku merah jambu (buku pemeriksaan kandungan) dalam beg tangan arwah,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Nur Azmawati berkata, arwah adik lelakinya itu turut memiliki saudara kembar sama jantina, Muhammad Syakirin Shamsuddin, 30, yang tinggal di kampung dan sudah berkeluarga.

Lebih memilukan, katanya, ahli keluarga mereka baru sahaja berkumpul di rumah pasangan berkenaan kerana menemani adik bongsu mereka, Muhammad Nazrul Shamsuddin, 19, bercuti di Kuala Lumpur.

“Arwah Syakiran dan isteri baru menghantar Nazrul menaiki bas malam tadi (kelmarin) dan Nazrul tiba di Kelantan jam 7 pagi ini (semalam). Tidak lama selepas itu, kami menerima berita mereka maut dalam kemalangan,” katanya.

Jenazah Syakiran dan isterinya dibawa pulang ke Bachok untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Repek Hilir, di sini sejurus selesai proses bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya dan dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).