SHAH ALAM – Pertama kali dalam sejarah apabila Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini melantik individu cacat penglihatan sebagai bilal sekali gus dianggap berjaya mengangkat martabat kumpulan berkenaan.

Beliau, Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini yang berasal dari Kampung Bukit Kerayong Klang itu dilantik jawatan berkenaan pada 1 Ogos lalu selepas berjaya melalui pemilihan Akademi Muazzin.

Katanya, dia sendiri tidak pernah mengimpikan untuk sampai ke tahap itu ekoran tugas beratnya adalah mewakili masjid utama di Selangor.

“Saya anggap pelantikan sebagai bilal ini juga kejayaan serta dorongan buat golongan senasib, sekiranya kita bersemangat dan mahu keluar dari kepompong sedia ada sudah tentu ALLAH bersedia untuk menunjukkan jalanNya.

“Kejayaan ini juga sudah tentunya atas sokongan keluarga terutamanya ayah saya yang sejak awal menemani ketika menyertai Akademi Muazzin,” katanya.

Bilal yang baru sahaja berusia 19 tahun ini turut menarik perhatian petugas-petugas di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz termasuk Mohd Halim Mashor yang juga siak di masjid yang sama.

“Kehadiran Mohammad Syafiizwan telah menjadi buah mulut imam sejak beliau menyertai Akademi Muazzin, katanya lelaki itu ‘tidak macam kita’, imam itu tidak bercerita lebih lanjut kepada saya, tetapi diminta supaya saya pergi melihatnya sendiri.

“Setelah melihat insan istimewa ini di depan mata serta berpeluang melihat bakat yang ada padanya, betapa dirasakan ALLAH itu maha berkuasa.

“Beliau tidak nampak sama seperti manusia normal tetapi cukup hebat bertaranum, qasidah dan sebagainya. Insan sebegini kita patut sanjungi kerana dia juga berupaya mengubah nasib individu yang senasib dengannya satu hari nanti,” katanya.