Kuala Lumpur – Bagi memperkasakan penggunaan eDompet di kalangan pengguna tempatan, Boost hari ini telah memperkenalkan tiga fungsi baharu dan yang telah dipertingkatkan iaitu BoostUPCashUp dan juga UnionPay QR. Melalui penawaran fungsi baharu ini, ia mampu mendorong pengguna ke arah transaksi tanpa tunai bagi memperolehi lebih banyak ganjaran.

BoostUP merupakan fungsi Shake Rewards yang telah dipertingkatkan melalui program ganjaran yang akan ditawarkan bermula 1 November 2019 ini. Melalui transaksi harian biasa, pengguna akan menikmati ganjaran lebih besar melalui Shake Rewards yang menawarkan wang ekstra, hadiah menarik ataupun tiket Emas.

Malah wang yang dikumpul boleh digunakan untuk menebus pelbagai hadiah bernilai lebih RM8 juta yang terdiri daripada gajet, kandungan hiburan dan permainan, pulangan tunai, baucar dan banyak lagi melalui katalog ganjaran.

CashUp pula disasarkan untuk pengguna eDompet Boost yang gemar melakukan pembelian secara atas talian di lebih 100 peniaga tempatan dan antarabangsa seperti Shopee, Zalora, Lazada, Malaysia Airlines, AirAsia, Klook, Sephora, JD Sports, Kinokuniya dan banyak lagi.

 

 

Akan diperkenalkan pada minggu kedua bulan November 2019 nanti, CashUp membolehkan pengguna untuk menerima pulangan tunai sehingga 13.5% apabila membeli-belah secara atas talian.

UnionPay QR Payment Service memudahkan pengguna eDompet Boost untuk membuat bayaran di hampir 125,000 kedai yang menyokong UnionPay QR di seluruh negara. Malah Boost turut bercadang untuk membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan bayaran tanpa tunai ini di lebih 31 buah negara dalam masa terdekat.

 

 

Untuk tempoh terhad sehingga 31 Disember 2019 nanti, pengguna akan turut menerima pulangan tunai segera bernilai RM3 apabila mengaktifkan servis pembayaran UnionPay QR pada eDompet Boost. Manakala untuk perbelanjaan minimum RM300 di Duty Free, Dimensi Exklusif, Colours and Fragrance di lapangan terbang di negara ini, pengguna akan menerima pulangan tunai segera bernilai RM30.