Kuala Lumpur – Bermula dengan kembara muzik rock yang beza arah tuju dan haluannya, takdir akhirnya menemukan lagenda rock tanah air, Datuk Ramli Sarip dengan Ella Aminuddin di persimpangan yang sama.

Segalanya bermula apabila Datuk Ramli Sarip diberi kepercayaan untuk menggalas  tanggungjawab sebagai produser untuk album studio Ella setelah ratu rock tanah air ini mengambil keputusan untuk bergerak secara solo selepas mencapai kejayaan bersama Ella & The Boys termasuklah penglibatan mereka di dalam Battle Of The Bands.

Teruja bakal berkongsi pentas dengan penyanyi legenda rock, Datuk Ramli Sarip, ratu rock Malaysia, Ella Aminuddin mengakui berasa takut dan gementar berikutan itu adalah gandingan pertama kali mereka di pentas.

Konsert yang diberi nama Kembara Kita itu akan berlangsung pada 14 dan 15 Februari depan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Ella berkata, walaupun dirinya sudah terkenal namun perasaan rendah diri itu masih ada apabila bakal bergandingan dengan Ramli yang jauh lebih berpengalaman daripada dirinya.

“Saya akui teruja namun dalam masa yang sama gementar apabila akan berkongsi pentas dengan Ramli.

“Saya anggap ini adalah peluang berharga dan tanpa berfikir lama terus terima tawaran ini.

“Apatah lagi gandingan ini juga adalah impian gitaris arwah Fauzi Samin atau Aji yang mahu melihat kami menjayakan konsert ini bersama,” katanya.

 

Katanya, walaupun Aji tidak sempat melihat persembahan mereka berdua namun perancangan mengadakan konsert itu pada awalnya turut mendapat perbincangan daripada Aji.

“Saya mendapat tawaran mengadakan konsert ini tiga bulan lalu ketika Aji masih ada dan dia sempat memberi pandangan serta perancangan mengenai konsert.

“Walaupun sebelum ini tidak pernah terfikir akan menjayakan konsert ini, namun saya gembira kerana dapat merealisasikan impian arwah Aji,” katanya.

Tiket telah mula dijual pada 29 Oktober 2019 ini. Tiket-tiket bermula dari harga RM110 hingga RM510. Untuk tempahan dan maklumat lanjut, sila layari www.ilassotickets.com  atau hubungi talian hotline+603 21706333.