KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilaporkan memiliki pasport Cyprus, sebuah negara kepulauan di Mediterranean, selepas skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terbongkar.

Menurut laporan eksklusif Politis, sebuah akhbar tempatan di Cyprus, Jho Low mendapatkan khidmat broker pasport dan kewarganegaraan, Henley & Partners bagi tujuan itu, dipercayai untuk mengelak pergerakannya dikesan pihak berkuasa antarabangsa dan Malaysia.

Ia firma sama digunakan Jho Low bagi mendapatkan pasport dari sebuah lagi negara kepulauan, Saints Kitts and Nevis sebelum ini, namun pasport berkenaan dibatalkan susulan siasatan dijalankan terhadap jutawan muda itu.

“Jho Low mendapatkan pasport Cyprus melalui pelan pelaburan negara itu yang memerlukan pihak berminat mendepositkan sejumlah 5,000,000 Euro ke dalam bank di Cyprus untuk tempoh tiga tahun, selain membeli kediaman kekal bernilai paling minimum 500,000 Euro.

“Berikutan itu, Jho Low membeli sebuah rumah agam bernilai 5,000,000 Euro pada 23 September 2015 untuk memenuhi syarat itu. Dia tiba di Cyprus pada 18 September 2015 bagi tujuan mendapatkan pasport berkenaan,” katanya.

Politis turut melaporkan dengan terperinci bahawa Jho Low tiba di Cyprus pada 18 September 2015 dan selepas melalui prosedur ekspres dalam tempoh dua hari, dia memperolehi pasport berkenaan.

Pada masa yang sama, Henley & Partners turut menguruskan proses pembelian villa mewah berkenaan pada 23 September 2015.

Bagaimanapun, laporan akhbar itu tidak menyatakan sama ada Jho Low pernah kembali ke Cyprus selepas itu, atau tinggal di rumah berkenaan.