KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 November lalu bersetuju supaya syarikat perniagaan pengantaraan yang menyediakan khidmat kenderaan perkhidmatan awam dan kenderaan barangan menggunakan motosikal (bike-hailing) dikawal selia.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan tersebut akan dikawal melalui kaedah atau peraturan pelesenan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Jelasnya, perkhidmatan bike-hailing tersebut akan dikenakan syarat-syarat yang setara seperti mana telah ditetapkan ke atas perkhidmatan e-hailing iaitu merangkumi syarat-syarat ke atas syarikat perniagaan pengantaraan, pemandu, pengoperasian perkhidmatan dan kenderaan.

“Tujuan utama kerajaan membenarkan perkhidmatan bike-hailing ini adalah sebagai satu kaedah untuk meningkatkan tahap liputan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

“Perkhidmatan bike-hailing ini akan menjadi salah satu komponen penting dalam usaha kerajaan menyediakan satu sistem pengangkutan awam yang menyeluruh kerana ia akan menjadi satu perkhidmatan penghubung dalam fasa first and last mile connectivity.

“Sebagaimana umum sedia maklum, fasa ini adalah amat penting untuk menarik minat orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi melengkapkan aktiviti harian mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang bertanya bilakah projek perintis perkhidmatan “ride hailing” motosikal seperti Dego Ride dan Gojek akan dimulakan.

Beliau juga mahu tahu sama ada kerangka perundangan berkenaan telah siap dirangka.

Tambah Loke, bagi mengawal selia perkhidmatan tersebut, Kementerian Pengangkutan ketika ini dalam proses membangunkan rangka perundangan dan syarat-syarat perkhidmatan bike-hailing. 

“Memandangkan proses pindaan undang-undang akan mengambil masa kerana termasuk memerlukan pembentangan dan kelulusan di Parlimen, kerajaan telah bersetuju supaya syarikat perniagaan pengantaraan yang berminat menyediakan perkhidmatan bike-hailing ini dibenarkan melaksanakan proses rintis atau Proof of Concept (POC). 

“Di sepanjang tempoh POC ini, pihak syarikat perniagaan pengantaraan boleh membuat persiapan dan pengujian pelaksanaan perkhidmatan bike-hailing.

“POC ini juga akan turut membolehkan pihak kerajaan dan syarikat perniagaan pengantaraan untuk mengumpul data, menilai tahap permintaan, menilai tahap penerimaan dan lain-lain keperluan operasi berhubung perkhidmatan bike-hailing ini.

“Bagi tujuan keselamatan dan penyeragaman, Kementerian Pengangkutan akan menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat pengendali dalam melaksanakan proses POC ini,” ujar Loke.

Jelasnya, POC tersebut akan bermula mulai Januari 2020 dengan tempoh yang ditetapkan selama enam bulan.

Malah, katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Pengangkutan Jalan sedang memperincikan semua peraturan dan tatacara serta semua persiapan di peringkat pentadbiran berkaitan pelaksanaan POC ini.

Syarat Pelaksanaan Proses Rintis (POC) Bike-Hailing:

(i) Lokasi hanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; kawasan lain dipertimbang jika ada permohonan;
(ii) Pemandu hendaklah mempunyai lesen memandu penuh dan berumur tidak kurang 18 tahun;
(iii) Hanya satu penumpang dibenarkan dibawa pada satu-satu masa, umur penumpang tidak kurang 18 tahun;
(iv) Hendaklah menggunakan tanda pakaian dan tanda di motosikal yang jelas; dan
(v) Hendaklah mematuhi semua peraturan jalan raya sepenuhnya.

Advertisements