SERI KEMBANGAN: Syarikat pengeluar rokok elektronik tempatan, NCIG (Malaysia) Sdn Bhd (NCIG) yang beroperasi sejak Januari lalu, bakal menghentikan operasinya di negara ini dalam tempoh terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sharifuddin Bujang atau lebih dikenali Pak Din berkata, penutupan operasi itu berikutan ketiadaan peraturan berhubung kandungan nikotin rokok elektronik yang dibenarkan di negara ini.

Katanya, syarikat itu akan menumpukan pelaburan untuk pasaran luar negara yang mempunyai peraturan bagi produk rokok elektronik khususnya di United Kingdom (UK) dan Indonesia.

Beliau berkata berikutan ketiadaan peraturan berkenaan, pihaknya hanya boleh memperkenalkan produk cecair rokok elektronik yang mengandungi sifar nikotin untuk pasaran tempatan.

“Ini keputusan yang sukar dibuat kerana kami mempunyai lebih 700 pekerja yang akan kehilangan pekerjaan berikutan penutupan operasi ini.

“Namun, kami tiada pilihan kecuali menumpukan operasi di luar negara,” katanya kepada media selepas Forum Antarabangsa Rokok Elektronik Dari Perspektif Global di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di sini, hari ini.

Pak Din berkata syarikat itu mengeluarkan produk rokok elektronik bermatlamat untuk menghentikan ketagihan merokok dalam kalangan rakyat negara ini.

Walaupun ianya satu keputusan yang sukar namun beliau masih berharap sekiranya pihak kerajaan ingin memberi peluang agar pemain industri dapat duduk bersama bagi membincangkan hala tuju yang lebih baik.