Kuala Lumpur –  Kumpulan muzik 4U2C yang popular sekitar tahun 1992 dengan lagu hitnya Fiona bakal mengegarkan pentas semula tahun hadapan. Kemunculan yang bakal mengubati kerinduan peminat itu, bakal diadakan di festival muzik melayu pertama terbesar, StereoFest di Singapura tahun hadapan.

Datuk AC Mizal selaku ketua kumpulan menyatakan kemunculan semula itu adalah atas permintaan dari pihak penganjur disamping para peminat yang masih inginkan mereka beraksi diatas pentas dengan mempersembahkan lagu-lagu yang pernah popular seperti Fiona, 2BD#1, Simfoni, Kami Rappers, Pilihan Istimewa dan pelbagai lagi.

 

Dalam masa sama, beliau berasa teruja dan bersyukur kerana 4U2C masih menjadi sebutan dan diminati sehingga kini walaupun setiap ahlinya kini telahpun mempunyai komitmen dan kerjaya sendiri.

“Alhamdulillah, saya sama sekali tidak menyangka bahawa 4U2C masih ada permintaan sehingga kini dan peminat tidak jemu meminta kami membuat kemunculan semula, namun bagi saya jika ingin melakukan persembahan sekalipun biarlah kami lengkap tujuh orang ahli berada diatas pentas”

“Bukan mudah untuk mengumpulkan kesemuanya kerana masing-masing ada komitmen kerja dan urusan sendiri sehinggalah isteri saya berusaha dan berjaya mengumpulkan kami bertujuh dan bakal menemui peminat di StereoFest nanti. InsyaAllah, jika diizinkan dapat peluang lain lagi untuk bersama peminat.

“Dua orang ahli kami kini berada di Indonesia, dan ianya perlu perancangan yang teliti agar sesuai dengan masa kami semua” katanya  ketika ditanya dalam sidang media di Hotel ibis.

StereoFest yang dibawakan oleh Adi Media Pte Ltd merupakan penganjuran festival muzik melayu terbesar yang bakal berlangsung di Palawan Green, Sentosa, Singapura pada 22 dan 23 februari 2020 nanti.

Konsert dua hari itu bakal mengetengahkan 20 barisan artis popular dari Indonesia, Malaysia dan Singapura. Antara artis yang membuat persembahan adalah Judika, 4U2C, New Boys, Ayda Jebat, Jaz, Zee Avi, ANBS, Andi Bernadee, Elizabeth Tan, Ismail Izzani, Rahila Rashun dan ramai lagi.

Pengarah urusan Adi Media Pte Ltd., Dian Rasid berkata festival ini bakal menjadi acara tahunan dan dianjurkan di Malaysia dan Indonesia bergantung kepada kejayaan konsert pertama dan permintaan peminat.

 

Tiket-tiket sudah mula dijual dan boleh didapati di www.stereofest.asia