Kuala Lumpur – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini Hala Tuju LKIM 2019-2020 disamping Anugerah Perkhidmatan kepada semua warga kerja LKIM yang banyak menabur bakti dan keringat menjayakan visi dan dasar dalam meningkatkan sosio ekonomi nelayan dan memajukan industri perikanan. 

Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd Sallehhuddin Bin Hassan, Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan turut disertai YB Tuan Muhammad Faiz Fadzil, Pengerusi LKIM, YBhg. Encik Jamaludin Bin Othman, Ketua Pengarah LKIM, Pengurusan Tertinggi LKIM dan juga Ahli Jemaah Lembaga Pengarah LKIM.

 

 

Dato’ Mohd Sallehhuddin dalam ucapannya menyentuh tentang Hala Tuju MOA: Prioriti Dan Strategi 2019-2020 yang dirangka berasaskan 3 dimensi sektor agro makanan iaitu keselamatan makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar, serta pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa yang menekankan peranan LKIM dalam usaha menjayakan hala tuju tersebut.

Dalam pada itu beliau juga turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada kesemua 278 orang penerima Anugerah Perkhidmatan yang menerima anugerah Perdana, Platinum, Emas, Perak, Gangsa Dan Bakti.

 

 

Pengerusi LKIM, YB Tuan Muhammad Faiz Fadzil dalam ucapannya pula berkata setiap warga kerja harus memberi komitmen tinggi dan dipertingkatkan lagi bagi menjayakan halatuju LKIM yang merangkumi 5 perkara penting berpremiskan budaya kerja cekap, amanah dan peduli (CAP).

Ini bagi memastikan LKIM menjadi salah satu agensi kerajaan yang sentiasa berdaya saing dan lebih kompeten di masa akan datang. 

Buku Hala Tuju LKIM 2019-2020 merupakan sebuah dokumen yang menterjemahkan komitmen berterusan kerajaan khususnya LKIM untuk terus memajukan industri perikanan negara dan meningkatkan sosio ekonomi nelayan. Hala tuju ini penting untuk dihayati oleh semua pihak.