WASHINGTON : Presiden Donald Trump memberi anugerah kepada aktor legenda Hollywood, Jon Voight yang juga pemenang Oscar, sambil mengenang pengalaman menonton filem menyayat hati lakonan beliau.

Voight, 80 adalah antara lapan individu yang menerima Pingat Nasional untuk Seni dan Pingat Kemanusiaan Nasional dalam satu upacara di Rumah Putih, iaitu penghormatan tertinggi buat golongan artis.

Beliau memenangi anugerah pelakon terbaik pada 1979, menerusi lakonan cemerlang dalam filem ‘Coming Home’ selepas membawakan watak veteran Perang Vietnam, bersama aktres Jane Fonda.

Namanya mula dikenali selepas membintangi ‘Midnight Cowboy’ bersama Dustin Hofman dan turut berlakon dalam filem bertajuk ‘Deliverance’ serta ‘Odessa File’.

 

Menurut Trump, sebuah lagi filem lakonan Voight, ‘The Champ’ adalah antara filem tinju terbaik pernah dihasilkan sepanjang zaman.

“Semua orang menangis ketika menonton filem itu. Saya cuba (untuk tidak menangis) namun ia bukan perkara mudah,” katanya.

Voight tampil sebagai penyokong kuat Trump secara terbuka di Hollywood, sekali gus memecah dominasi di kalangan rakan seperjuangan yang selama ini menyokong Demokrat.

Anak perempuannya, aktres Angelina Jolie pula adalah pengkritik tegar Trump dan tidak kelihatan pada majlis berkenaan. – AFP